Saturday, December 2, 2017

Teknik permainan

1) Menampal huruf.

Membiasakan anak-anak dengan buku sejak kecil merupakan salah satu langkah proaktif memupuk minat membaca. Anak-anak ada buku kegemaran masing-masing. Jadi saya menggunakan peluang ini untuk mengajar anak mengaji.

Saya tampalkan huruf-huruf hijaiyah tunggal pada alat permainan seperti lego, kereta mainan dan lori mainan. Manakala huruf fathah (berbaris atas) saya tampalkan dalam buku kegemaran mereka. Jadi semasa membacakan buku untuk mereka, saya akan tunjukkan huruf secara langsung dan tidak langsung. 

Saya juga tampalkan huruf pada dinding dan pintu bilik. Semasa mereka melalui kawasan tersebut mereka akan memandang huruf tersebut. Lama-kelamaan mereka dapat mengecam huruf dengan baik.

Jangan bimbang jika anak tidak menunjukkan respon, insya Allah minda anak menyimpan memori dan satu hari akan keluar juga "output".

2) Membina bahan bantu mengajar sendiri.

Kumpulkan botol mineral kosong. Tuliskan huruf hijaiyah pada 3 kertas berasingan. Balutkan pada botol mineral ini dan minta mereka padankan huruf yang sama dalam satu baris.

Membuat permainan dadu. Cari kotak terpakai, potong dan cantum menjadi dadu kecil berlainan saiz. Tuliskan huruf pada setiap bahagian dadu. Boleh juga susunkan kotak dadu ini dari besar ke kecil.

3) Membuat kad memori.

Potongkan kad-kad manila. Tulis huruf hijaiyah fathah. Jadikan dua set. Susun atas meja secara terbalik. Buka satu kad secara rawak dan cuba teka pasangannnya. Jika kad kedua bukan padanannya, tutup semula kedua-dua kad. Cuba lagi sehingga dapat semua padanan.

Boleh juga gunakan cawan kertas dan tuliskan huruf pada belakang cawan. Padankan huruf yang sama pada kertas.

Pelbagaikan kaedah dan material. Pasti anak suka.

4) Saya Cari... (I Spy...)

Bahan yang digunakan terdiri daripada :

Botol mineral 
Beras 
Huruf hijaiyah

Cara-caranya :

Isikan separuh botol dengan beras. Masukkan huruf-huruf hijaiyah. Masukkan lagi beras dan huruf. Goncangkan. Sediakan sebuah senarai semak untuk anak tandakan huruf yang dia nampak dari botol.

I Spy Bottle ini boleh digantikan dengan beg ziplock dan air sabun. Selotep supaya tidak bocor atau terbuka. Masukkan huruf hijaiyah ke dalamnya. Selamat bermain dengan seronoknya!

No comments:

Post a Comment