Dalam kitab Shahihnya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadits dari Hajjaj bin Minhal dari Syu’bah dari Alqamah bin Martsad dari Sa’ad bin Ubaidah dari Abu Abdirrahman As-Sulami dari Utsman bin Affan Radhiyallahu Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”
Motivasi dari ayat ini selalu diulang oleh suami kepada saya dan anak semasa mengajar anak mengaji.
Perjalanan anak belajar membaca al-Quran adalah satu tempoh yang panjang.
Alhamdulillah, ketika anak mula membaca al-Quran pada 29 Ramadan 1434 (8 Ogos 2013), beliau konsisten mengaji setiap hari dengan hanya 1 atau 2 ayat. Apabila memasuki juzuk 2, barulah anak semakin lancar bacaannya. Waktu ini masih membaca separuh muka surat.
Selepas anak lancar membaca, kami mulakan rutin membaca 1 muka surat sehari diikuti membaca 2 hingga 3 muka surat sehari. Dan baca setiap kali selepas solat.
Alhamdulillah, rutin ini turut melibatkan seluruh keluarga. Saya dan suami juga sama-sama membaca bersama beliau. Positifnya, perlakuan ini turut melibatkan adik yang masih kecil. Kami juga memulakan memperkenalkan al-Quran kepada anak yang lain.
Semasa membaca al-Quran, kami hanya menggalakkan anak membaca tanpa paksaan dan menunjukkan al-Quran ini penting melalui sikap dan contoh.
Dalam masa yang sama, anak melihat datuk dan nenek juga suka mengaji. Malahan anak suka duduk mendengar datuk membaca surah al-Kahfi dan nenek yang istiqamah mengaji berjam-jam setiap pagi.
Khaulah akhirnya khatam pada usia 4 tahun 6 bulan iaitu pada 8 April 2014. Mengambil masa 8 bulan dan ia banyak memberi pelajaran kepada diri saya. Saat Khaulah khatam Quran membuatkan saya rasa sebak dan sujud syukur akan kebesaran Allah.
Betapa kita sebagai insan tidak dapat membuat apa-apa jika Allah tidak izinkan. Dialah yang menurunkan Al-Quran, memelihara al-Quran dan memasukkan al-Quran ke dalam hati anak-anak.
No comments:
Post a Comment