Menjadi ibu ayah merupakan impian sebahagian besar pasangan yang berkahwin. saat disahkan hamil juga merupakan momen indah untuk dikenang.
Menjadi ibu ayah memerlukan ilmu. Bermula dengan ilmu kehamilan, penjagaan makanan, persiapan menyambut bayi, mendidik anak dan senarainya berterusan.
Seperti kata Imam Asy-Syafii, "semakin bertambah ilmuku, semakin kutahu betapa jahilnya aku."
Sebaik-baik model ialah Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam. Bacalah sirahnya, kita akan temui banyak cara yang baginda tunjukkan dalam meladeni anak-anak.
Pernah baginda memanjangkan sujud dalam solatnya sehinga jemaah (para sahabat) menyangka turunnya wahyu. Sedangkan rupa-rupanya baginda memberi peluang kepada cucundanya bermain di atas belakangnya sehingga puas.
Satu nasihat yang cukup baik diberi oleh baginda kepada Abdullah bin Abbas :
‘Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: ‘Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau memohon (meminta), mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, bahawa seandainya seluruh umat berkumpul untuk memberi suatu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu. Sebaliknya, jika mereka berkumpul untuk menimpakan suatu kemudharatan (bahaya) kepadamu, maka mereka tidak akan dapat menimpakan kemudharatan (bahaya) kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.’” [HR. at-Tirmidzi, dan ia berkata, “Hadits ini hasan shahîh.”]
Masya Allah. Subhanallah. Penekanan akidah dalam diri anak-anak seharusnya menjadi keutamaan berbanding ilmu lain.
Bagaimana aplikasikan kepada anak-anak?
Sejak awal, rajinkan diri berbual dengan bayi kecil kita.
"Assalamualaikum adik, apa khabar? Alhamdulillah, Allah beri kita hidup hari ini. Dapatlah adik tengok ummi lagi, kan?
"Ini apa? Ini tangan. Siapa beri kita tangan? Allah.
Cuba adik pegang tangan ummi, ha, lembut tak rasanya? Allah juga yang beri tangan kita lembut."
Begitulah antara contoh dialog yang boleh kita jadikan skrip mengajar anak akidah.
No comments:
Post a Comment