Sebenarnya tiada satu pun kaedah yang benar-benar menepati cara mengajar anak. Setiap anak berbeza dan kita sebagai ibu bapa perlu mengenalpasti minat dan kecenderungan anak.
Sejak usia anak sulung setahun kami menggunakan pelbagai buku kaedah mengajar anak mengaji al-Quran yang berada di pasaran.
Ini sekadar reviu peribadi kami. Mungkin sesuai untuk anak kami tetapi tidak dapat diaplikasi pada anak orang lain dan begitulah sebaliknya. Berlapang dada dan teruskan mencuba.
Set Al-Furqan.
Buku ini adalah set mengaji terbitan Read Networks. Mempunyai 4 buah buku dan disertakan sebuah CD panduan mengajar. Di dalam CD ini terkandung lagu kanak-kanak.
Kami suka dengan buku 1 yang disusun dengan 14 huruf mesra bayi. Ia bermula dengan baris fathah bagi huruf ba, mim, nun, ya dan seterusnya. Menarik kerana ia tidak dimulakan dengan huruf alif seperti kebanyakan Iqra' di pasaran.
Setiap buku mempunyai tajuk dan latihan menyebut tersendiri. Kami hanya menggunakan 2 buah buku Furqan sebelum beralih menggunakan buku lain.
Kaedah Al-Matien.
Kaedah ini diasaskan oleh Ustaz Zamri bin Zainal Abidin atau dikenali dengan trade mark Ustaz Mantop ekoran program belajar mengaji kanak-kanak beberapa tahun lepas.
Buku ini disusun bermula memperkenalkan hirif hijaiyah, sebutan makhraj, diajar menyebut a an(alif fathah dan alif berbaria tanwin atas) serta dipecahkan kepada bab-bab. Arahannya mudah difahami serta berwarna-warni.
Bagi saya buku ini bagus kerana orang dewasa juga boleh menggunakan buku ini. Namun, sekali lagi anak kami hanya menggunakan buku ini separuh jalan.
Iqra'
Kami cuba menggunakan iqra' yang meluas digunakan di sekolah ini. Tetapi anak tidak mahu membacanya kerana melihat terlalu banyak kalimah dalam 1 muka surat. Terpaksa kami mencari kaedah lain.
Iqra' At-Taisir
Buku ini disusun oleh Ust Rizal Abd Ghani, seorang guru j-QAF cemerlang di Johor.
Alhamdulillah anak saya sangat sukakan buku ini kerana berwarna penuh, ada ilustrasi berwarna dan penerangan jelas di setiap bab. Buku ini mempunyai 5 tahap. Tidak terlalu banyak kalimah dalam satu muka surat dan tulisannya sesuai untuk anak baca.
Subhanallah, anak mula membaca secara konsisten mulai Mei 2013 sehingga akhir Julai 2013. Awal Ogos 2013 iaitu pada 1 Syawal 1434H anak memulakan bacaan al-Quran beliau.
Semasa menggunakan Iqra' At-Taisir ini, anak memang sudah mencuba membaca al-Quran semasa di modul 5 tetapi kami tetap mahukan anak baca sehingga tamat kerana dalam modul 5 diajar tentang tajwid dan bacaan istimewa di dalam al-Quran.
No comments:
Post a Comment