Saturday, December 23, 2017

Bermain doh.

Semasa kecil dahulu, saya lebih mengenali nama tanah liat. Subjek Pendidikan Seni ada diajar kemahiran bermain dengan tanah liat ini. Yang ada dalam memori, cikgu minta kami bawa tanah liat sendiri. Biasanya di beli di kedai runcit di luar sekolah.

Cikgu akan beri tema dan kami mula menguli tanah liat membentuk benda-benda tersebut. Saya suka tema "Jurassic Park". Macam-macam jenis dinasour yang rakan-rakan saya cipta.

Kini, dengan kemajuan teknologi, ada banyak resipi doh buat sendiri yang kita boleh pilih. Mahu yang lembut, wangi, berwarna, dimasak atas api atau bancuhan biasa dan 101 cara lagi.

Ramai juga ibu yang saya temui memberi anak doh membuat kuih. Mudah, bukan? Jangan susahkan kepala memikirkan idea yang canggih-canggih. Bimbang tidak terbuat.

Apa kelebihan bermain doh?

πŸ’‘ Merangsang kemahiran motor halus.
πŸ’‘ Menggalakkan komunikasi sosial anak-anak.
πŸ’‘ Membina imaginasi dan kreativiti anak.
πŸ’‘ Menggalakkan koordinasi mata dan tangan.
πŸ’‘ Meningkatkan kendiri anak secara positif.
πŸ’‘ Membantu anak dalam aktiviti pratulis.

Saya berkongsi dua jenis resipi doh yang biasa saya buat bersama anak-anak.

Resipi Satu.

Bahan :

2 cawan tepung
1/2 cawan garam yang dikisar halus
2 sudu besar minyak masak
2 sudu kecil cream of tartar
Perisa vanilla / ros / pandan / essential oil (eo)
Pewarna
1 cawan air mendidih

Cara-cara :

πŸ”– Satukan semua bahan kecuali air dan pewarna. Gaul sebati. 
πŸ”– Masukkan air mendidih. Gaul dengan sudu. 
πŸ”–Bila sudah suam sedikit uli doh dengan tangan. Bahagikan doh dan letakkan pewarna. Uli lagi.

Pengalaman kami :

Permulaan doh agak melekit. Lama-kelamaan doh menyerap pewarna dan masya Allah hasilnya memang cantik dan doh sedang elok.

Doh juga boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan disimpan dalam peti sejuk. Boleh tahan lebih sebulan.

Resipi kedua.

Doh wangi dan lembut (seperti kapas!)

Bahan-bahan (anggaran)

Hair moisturizer (saya gunakan jenama Rejoice kerana lebih lembut) - 1 senduk
Tepung jagung - 2 senduk
Pewarna makanan - pilihan

Cara-cara : 

1. Campurkan hair moisturizer dan tepung jagung. Gaul hingga membentuk doh.
2. Bahagikan kepada beberapa bulatan doh.
3. Titikkan pewarna.

Pengalaman kami : 

Jika doh terlalu kering tambahkan hair moisturizer. Jika doh terlalu lembap tambahkan tepung jagung.

Anak-anak sukakan doh ini kerana wangi dan lembut (seperti kapas kata mereka). Doh tidak tahan lama.

Bagaimana menggunakan doh untuk ajar mereka mengaji?

Bagi anak yang baru nak mengenal huruf hijaiyah. Saya lukiskan templat huruf pada kotak terpakai atau kertas. Anak uli doh sehingga membentuk silinder yang panjang dan membentuk huruf berkenaan.

Boleh juga lukiskan bentuk lain dan beri keseronokan kepada anak menghias hasil kerja mereka.

No comments:

Post a Comment