Friday, December 22, 2017

Bukan Sekadar Nama Biasa

Saat menerima perkhabaran bakal menimang cahaya mata, pemberian nama sangat dititik beratkan oleh setiap ibu bapa.

Jangan sekadar memilih nama atas sedapnya nama disebut. Elakkan juga memilih kerana viralnya nama tersebut. Namun biarlah kita memilih nama dengan ilmu.

Indahnya ajaran Islam apabila Baginda sollallahu 'alaihi wasallam ada mengajar tentang ini.

Abu Darda' meriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda : Sesungguhnya kamu akan diseru atau dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu. (Hadis riwayat Abu Daud)

Malahan terdapat nama yang disukai Allah menurut hadis ini : 

Sesungguhnya nama yang paling disukai Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman. (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar)

Ketahuilah beberapa panduan memberi nama kepada anak :

1. Memilih nama yang baik.
2. Memilih nama Abdullah dan Abdurrahman.
3. Memilih nama para nabi dan orang soleh.

Sesungguhnya pada nama anak itu terkandung harapan dari ibu ayah terhadapnya. Panggilan namanya juga merupakan satu doa.

Semasa kami memilih nama anak sulung juga, kami mengambil masa membaca dan mengkaji. Membaca al-Quran dan membuka kembali sirah Nabawiyah. 

Akhirnya kami tertarik benar akan peribadi Khaulah Al-Azwar, seorang sahabiah Baginda yang berani bertempur di medan perang. Meneliti kisah kaum keluarganya juga menunjukkan muslim yang teguh dengan Islam.

Akhirnya nama Khaulah diberi kepada puteri sulung kami ini. Khaulah turut bermaksud "anugerah".

No comments:

Post a Comment