Permulaan saya mula mengajar anak secara serius di rumah ialah ketika saya dalam cuti bersalin anak kedua pada tahun 2012. Suatu hari, saya memanggil anak sulung tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya anak ini begitu fokus melihat kartun di televisyen. Saya tersentap. Kami tiada telefon pintar ketika itu namun fenomena i-pad sudah mula berkembang dalam pasaran. Begitu juga kartun Upin Ipin semakin popular.
Saya memegang bahu anak dan bawa dia masuk ke bilik. Saya mengajak anak membuat aktiviti bersama dan kami memilih untuk membuat aktiviti kolaj. Allah ilhamkan idea ini bagi mengurangkan kebergantungan anak terhadap televisyen. Alhamdulillah, walaupun bahan terhad di rumah, berjaya juga kami menyiapkan kolaj alif dengan gembira.
Sejak itu saya giat menggali ilmu demi memenuhi keperluan dan pendidikan anak-anak yang masih kecil. Bertanya pengalaman orang yang lebih tua, membaca buku, artikel, melanggan majalah, mendengar ceramah dan menyertai seminar keibubapaan. Waktu itu saya mula sedar, tanggungjawab seorang ibu bukan sekadar menyusu dan menjaga anak tetapi bersedialah untuk menjadi madrasah pertama anak-anak!
No comments:
Post a Comment