Bagaimana merangsang anak kecil mengaji? Bayi yang dikandung sudah mula mendengar tika usia mencecah 16 minggu dalam kandungan. Saat ibu disahkan hamil, ibu ayah sudah boleh perbanyakkan mengaji al-Quran, berdoa dan bercakap perkara yang baik. Bagus juga sekiranya ibu ayah dapat mengelakkan atau mengurangkan tontonan hiburan dan rancangan yang kurang bersesuaian.
Jika ibu tidak dapat mengaji pada sesuatu masa, bolehlah gunakan alternatif bacaan al-Quran yang diperdengarkan melalui telefon pintar, radio mahupun komputer. Mudah-mudahan bayi juga dapat mendengarnya.
Pengalaman kami, selepas bayi lahir, penuhilah sunnah-sunnah kelahiran seperti azan dan iqamat, memberi nama yang baik, melakukan akikah, mencukur kepala anak dan berkhitan.
Dari Abu Hurairah radiallahuanhu, dari Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Fitrah itu ada lima, atau ada lima fitrah iaitu khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur kumis." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kami perdengarkan audio bacaan Quran sejak hari pertama anak dilahirkan. Bermula dengan surah Al-Fatihah, diikuti Juz 30 dan seluruh al-Quran. Pernah juga kami jadualkan bacaan pilihan menjelang waktu tidur iaitu Surah Al-Mulk, Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Kahfi. Tapi tidak kisah pun hendak perdengarkan mana-mana surah kerana Al-Quran ini juga bersifat syifa' (penawar).
No comments:
Post a Comment