Sunday, December 24, 2017

9 tip galak anak solat

1.  Amalkan doa  dari Surah Ibrahim ayat 40 - 41.

2. Buka siaran televisyen atau radio yang mengumandangkan azan apabila tiba waktu solat. 

3. Letakkan anak berhampiran semasa kita solat. 

4. Galakkan anak solat bersama-sama.

5. Bawa anak solat berjemaah di masjid (jika bersesuaian)
- Cari masjid yang mesra kanak-kanak.
- Kami bawa anak seawal usia bagi membiasakan dirinya dengan keadaan di surau atau masjid. Alhamdulillah, mereka lebih tenang dan faham bahawa ini tempat beribadat. Tidak boleh mengganggu jemaah yang datang solat ke sini.

6. Bercerita mengenai solat, kelebihan dan lain-lain.
- anak-anak lebih mudah mendengar melalui kaedah bercerita (story telling).

7. Khususkan pakaian solat untuknya.
- Belikan telekung, songkok, baju melayu atau jubah dan sejadah khas untuknya solat. Anak pasti gembira kerana memiliki barang sendiri.

8. Menziarahi masjid.
- Biasanya keluarga kami akan rancang trip ke sesuatu tempat dan singgah di masjid negeri berkenaan. Misalnya, Masjid Negeri Shah Alam.
- Anak-anak teruja melihat keindahan dan kebesaran masjid di situ.
- Mereka melihat ramai orang solat berjemaah dan mereka sendiri rasa seronok untuk solat.

9. Paling penting, ibu bapa menjadi role model!
- Kitalah orang pertama menyahut seruan azan.
- Kitalah orang pertama mendirikan solat apabila masuk waktu.
- Anak akan melihat contoh terbaik di hadapan mata.
- Insya Allah, anak akan mengikut jejak langkah anda.

Jagalah Allah, Allah akan menjagamu


Menjadi ibu ayah merupakan impian sebahagian besar pasangan yang berkahwin. saat disahkan hamil juga merupakan momen indah untuk dikenang.

Menjadi ibu ayah memerlukan ilmu. Bermula dengan ilmu kehamilan, penjagaan makanan, persiapan menyambut bayi, mendidik anak dan senarainya berterusan.

Seperti kata Imam Asy-Syafii, "semakin bertambah ilmuku, semakin kutahu betapa jahilnya aku."

Sebaik-baik model ialah Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam. Bacalah sirahnya, kita akan temui banyak cara yang baginda tunjukkan dalam meladeni anak-anak.

Pernah baginda memanjangkan sujud dalam solatnya sehinga jemaah (para sahabat) menyangka turunnya wahyu. Sedangkan rupa-rupanya baginda memberi peluang kepada cucundanya bermain di atas belakangnya sehingga puas.

Satu nasihat yang cukup baik diberi oleh baginda kepada Abdullah bin Abbas :


‘Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: ‘Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau memohon (meminta), mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, bahawa seandainya seluruh umat berkumpul untuk memberi suatu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu. Sebaliknya, jika mereka berkumpul untuk menimpakan suatu kemudharatan (bahaya) kepadamu, maka mereka tidak akan dapat menimpakan kemudharatan (bahaya) kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.’” [HR. at-Tirmidzi, dan ia berkata, “Hadits ini hasan shahîh.”]


Masya Allah. Subhanallah. Penekanan akidah dalam diri anak-anak seharusnya menjadi keutamaan berbanding ilmu lain. 

Bagaimana aplikasikan kepada anak-anak?

Sejak awal, rajinkan diri berbual dengan bayi kecil kita.

"Assalamualaikum adik, apa khabar? Alhamdulillah, Allah beri kita hidup hari ini. Dapatlah adik tengok ummi lagi, kan?

"Ini apa? Ini tangan. Siapa beri kita tangan? Allah.
Cuba adik pegang tangan ummi, ha, lembut tak rasanya? Allah juga yang beri tangan kita lembut."

Begitulah antara contoh dialog yang boleh kita jadikan skrip mengajar anak akidah.

Melazimi zikir pagi petang

Zikir pagi petang merupakan amalan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam. Ia seharusnya diamalkan pada masa kini di mana sunnah nabi dipersendakan atau disia-siakan. (Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman).

Buku zikir pagi petang di pasaran ada banyak, Antara yang kami gunakan :

1) Zikir pagi petang yang disusun oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman terbitan Telaga Biru. Ada 2 versi : tulisan rumi (kulit coklat kuning) dan tulisan jawi (kulit hijau). Harganya RM4.00

2) Perisai Muslim.
- Himpunan doa yang diambil dari sumber hadis sahih. Asalnya disusun oleh Sheikh Dr Said bin Ali Wahf Al-Qahtani. Kemudian diterjemah dan disusun ke bahasa Melayu oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman.


Mulakan dengan secara tidak formal iaitu ibu ayah membaca terlebih dahulu sambil anak mendengar atau di baca semasa bersiar-siar, di dalam kereta, membersihkan rumah lama-kelamaan anak boleh mula ikut dan hafal bersama-sama.

Menggalakkan anak membaca zikir pagi petang


Jadikan rutin membacanya selepas solat Subuh dan selepas Asar atau Maghrib. Lakukan bersama-sama anak supaya anak melihat contoh yang baik dari ibu dan ayah.

Membaca kelebihan zikir dari hadis sahih mampu meningkatkan motivasi membacanya. Apabila anak sudah lancar, kebiasaannya anak akan mudah membacanya di mana-mana walaupun ketika terlupa membawanya bersama.

Nikmat membaca al-Quran lebih dirasai dengan izin Allah.

Saturday, December 23, 2017

Kraf huruf

Memperkenalkan huruf hijaiyah secara kreatif pasti menyeronokkan pembelajaran anak-anak.

Ibu ayah boleh pilih sama ada mahu menggunakan bahasa Arab, bahasa Inggeris atau bahasa Melayu semasa membuat kraf huruf ini.

Saya beri contoh dalam bahasa Melayu.

Huruf alif untuk arnab
Huruf ba untuk burung
Huruf ta untuk tali

Dan sebagainya.

Bahan asas bagi kraf huruf ialah kertas warna, gam dan gunting. Galakkan anak terlibat seperti menggunting templat, menggam kraf dan akhirnya memperkemaskan hasil mereka.

Bermain doh.

Semasa kecil dahulu, saya lebih mengenali nama tanah liat. Subjek Pendidikan Seni ada diajar kemahiran bermain dengan tanah liat ini. Yang ada dalam memori, cikgu minta kami bawa tanah liat sendiri. Biasanya di beli di kedai runcit di luar sekolah.

Cikgu akan beri tema dan kami mula menguli tanah liat membentuk benda-benda tersebut. Saya suka tema "Jurassic Park". Macam-macam jenis dinasour yang rakan-rakan saya cipta.

Kini, dengan kemajuan teknologi, ada banyak resipi doh buat sendiri yang kita boleh pilih. Mahu yang lembut, wangi, berwarna, dimasak atas api atau bancuhan biasa dan 101 cara lagi.

Ramai juga ibu yang saya temui memberi anak doh membuat kuih. Mudah, bukan? Jangan susahkan kepala memikirkan idea yang canggih-canggih. Bimbang tidak terbuat.

Apa kelebihan bermain doh?

💡 Merangsang kemahiran motor halus.
💡 Menggalakkan komunikasi sosial anak-anak.
💡 Membina imaginasi dan kreativiti anak.
💡 Menggalakkan koordinasi mata dan tangan.
💡 Meningkatkan kendiri anak secara positif.
💡 Membantu anak dalam aktiviti pratulis.

Saya berkongsi dua jenis resipi doh yang biasa saya buat bersama anak-anak.

Resipi Satu.

Bahan :

2 cawan tepung
1/2 cawan garam yang dikisar halus
2 sudu besar minyak masak
2 sudu kecil cream of tartar
Perisa vanilla / ros / pandan / essential oil (eo)
Pewarna
1 cawan air mendidih

Cara-cara :

🔖 Satukan semua bahan kecuali air dan pewarna. Gaul sebati. 
🔖 Masukkan air mendidih. Gaul dengan sudu. 
🔖Bila sudah suam sedikit uli doh dengan tangan. Bahagikan doh dan letakkan pewarna. Uli lagi.

Pengalaman kami :

Permulaan doh agak melekit. Lama-kelamaan doh menyerap pewarna dan masya Allah hasilnya memang cantik dan doh sedang elok.

Doh juga boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan disimpan dalam peti sejuk. Boleh tahan lebih sebulan.

Resipi kedua.

Doh wangi dan lembut (seperti kapas!)

Bahan-bahan (anggaran)

Hair moisturizer (saya gunakan jenama Rejoice kerana lebih lembut) - 1 senduk
Tepung jagung - 2 senduk
Pewarna makanan - pilihan

Cara-cara : 

1. Campurkan hair moisturizer dan tepung jagung. Gaul hingga membentuk doh.
2. Bahagikan kepada beberapa bulatan doh.
3. Titikkan pewarna.

Pengalaman kami : 

Jika doh terlalu kering tambahkan hair moisturizer. Jika doh terlalu lembap tambahkan tepung jagung.

Anak-anak sukakan doh ini kerana wangi dan lembut (seperti kapas kata mereka). Doh tidak tahan lama.

Bagaimana menggunakan doh untuk ajar mereka mengaji?

Bagi anak yang baru nak mengenal huruf hijaiyah. Saya lukiskan templat huruf pada kotak terpakai atau kertas. Anak uli doh sehingga membentuk silinder yang panjang dan membentuk huruf berkenaan.

Boleh juga lukiskan bentuk lain dan beri keseronokan kepada anak menghias hasil kerja mereka.

Friday, December 22, 2017

Bukan Sekadar Nama Biasa

Saat menerima perkhabaran bakal menimang cahaya mata, pemberian nama sangat dititik beratkan oleh setiap ibu bapa.

Jangan sekadar memilih nama atas sedapnya nama disebut. Elakkan juga memilih kerana viralnya nama tersebut. Namun biarlah kita memilih nama dengan ilmu.

Indahnya ajaran Islam apabila Baginda sollallahu 'alaihi wasallam ada mengajar tentang ini.

Abu Darda' meriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda : Sesungguhnya kamu akan diseru atau dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu. (Hadis riwayat Abu Daud)

Malahan terdapat nama yang disukai Allah menurut hadis ini : 

Sesungguhnya nama yang paling disukai Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman. (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar)

Ketahuilah beberapa panduan memberi nama kepada anak :

1. Memilih nama yang baik.
2. Memilih nama Abdullah dan Abdurrahman.
3. Memilih nama para nabi dan orang soleh.

Sesungguhnya pada nama anak itu terkandung harapan dari ibu ayah terhadapnya. Panggilan namanya juga merupakan satu doa.

Semasa kami memilih nama anak sulung juga, kami mengambil masa membaca dan mengkaji. Membaca al-Quran dan membuka kembali sirah Nabawiyah. 

Akhirnya kami tertarik benar akan peribadi Khaulah Al-Azwar, seorang sahabiah Baginda yang berani bertempur di medan perang. Meneliti kisah kaum keluarganya juga menunjukkan muslim yang teguh dengan Islam.

Akhirnya nama Khaulah diberi kepada puteri sulung kami ini. Khaulah turut bermaksud "anugerah".

Belajar Bahasa Arab

Tujuan belajar bahasa Arab ialah supaya kita dapat memahami al-Quran.

Ibu ayah tidak tahu berbahasa Arab? Jangan berputus asa. Boleh gunakan Quran perkata sebagai permulaan.

Atau mahu lebih asas, kita cari set asas belajar bahasa Arab yang banyak di pasaran.

Misalnya set yang kami guna ialah Set Lughatul Jannah. Secara asasnya kami mahu memperkaya perbendaharaan kata anak-anak maka buku ini kami bacakan setiap hari semasa mereka kecil. Subhanallah, ada anak yang menginjak 2 tahun sudah mengecam kesemua kalimah dalam buku 1 dan 2 dari set ini.

Dari masa ke semasa, semasa membaca al-Quran atau Iqra', mereka mula mengecam perkataan yang sama atau hampir sama.

Eh, ummi. Dia tulis 'ala. 'Ala ni di atas, kan? 

Haah betul. Masya Allah. Abang Ngah cam?

Anak mengangguk-angguk suka.

Ia umpama bonus apabila anak memahami apa yang dibaca. Motivasi kendiri anak meningkat dan merangsang anak berfikir tentang ayat Quran yang dibaca.

Thursday, December 21, 2017

Aktiviti Mudah Di Rumah Merangsang Bayi Anda

Semasa awal pertumbuhan usia bayi, mereka cenderung memerhatikan benda dan orang di sekeliling. Waktu ini mereka akan mula explore benda di sekeliling. Apabila mereka mula menjulur, merangkak dan sebagainya, kita perlu berjaga-jaga supaya objek yang masuk ke dalam mulut bayi adalah selamat dan dikawal.

Saya percaya pentingnya Al-Quran diperdengarkan sejak kecil mampu merangsang otak berfungsi dengan lebih baik. Selain merangsang fungsi otak bayi, jangan dilupakan al-Quran sebagai terapi terbaik bayi :)

Baik, saya ingin berkongsi idea aktiviti yang boleh dilakukan bersama bayi di rumah berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Umur bayi adalah umum dan catatan ini cenderung kepada bayi berusia setahun dan ke atas :

Cahaya

Bayi memang sukakan cahaya. Paling mudah kita bermain bayang-bayang dengannya. Tutup lampu, pasangkan lampu suluh atau lampu dari telefon dan mula membuat bentuk menggunakan jari atau tisu berwarna.

Botol

Gunakan botol lutsinar atau botol mineral. Isikan air berwarna yang ditambah serbuk glitter,goncangkan dan beri anak main atau boleh juga dibuatkan I Spy Bottle.

Benda bergerak (mobile)

Boleh gantungkan permainan mobile mengikut kesesuaian ketinggian dan pastikan ianya selamat dari bayi anda. Ada bayi yang leka dengan benda-benda ini namun tidak kurang ada yang tidak peduli pun. Hehe, ikutlah tahap perkembangan anak.

Khatam Al-Quran

Dalam kitab Shahihnya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadits dari Hajjaj bin Minhal dari Syu’bah dari Alqamah bin Martsad dari Sa’ad bin Ubaidah dari Abu Abdirrahman As-Sulami dari Utsman bin Affan Radhiyallahu Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

Ø®َÙŠْرُÙƒُÙ…ْ Ù…َÙ†ْ تَعَÙ„َّÙ…َ الْÙ‚ُرْآنَ ÙˆَعَÙ„َّÙ…َÙ‡ُ 

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”

Motivasi dari ayat ini selalu diulang oleh suami kepada saya dan anak semasa mengajar anak mengaji.

Perjalanan anak belajar membaca al-Quran adalah satu tempoh yang panjang.

Alhamdulillah, ketika anak mula membaca al-Quran pada 29 Ramadan 1434 (8 Ogos 2013), beliau konsisten mengaji setiap hari dengan hanya 1 atau 2 ayat. Apabila memasuki juzuk 2, barulah anak semakin lancar bacaannya. Waktu ini masih membaca separuh muka surat.

Selepas anak lancar membaca, kami mulakan rutin membaca 1 muka surat sehari diikuti membaca 2 hingga 3 muka surat sehari. Dan baca setiap kali selepas solat.

Alhamdulillah, rutin ini turut melibatkan seluruh keluarga. Saya dan suami juga sama-sama membaca bersama beliau. Positifnya, perlakuan ini turut melibatkan adik yang masih kecil. Kami juga memulakan memperkenalkan al-Quran kepada anak yang lain.

Semasa membaca al-Quran, kami hanya menggalakkan anak membaca tanpa paksaan dan menunjukkan al-Quran ini penting melalui sikap dan contoh.

Dalam masa yang sama, anak melihat datuk dan nenek juga suka mengaji. Malahan anak suka duduk mendengar datuk membaca surah al-Kahfi dan nenek yang istiqamah mengaji berjam-jam setiap pagi.

Khaulah akhirnya khatam pada usia 4 tahun 6 bulan iaitu pada 8 April 2014. Mengambil masa 8 bulan dan ia banyak memberi pelajaran kepada diri saya. Saat Khaulah khatam Quran membuatkan saya rasa sebak dan sujud syukur akan kebesaran Allah.

Betapa kita sebagai insan tidak dapat membuat apa-apa jika Allah tidak izinkan. Dialah yang menurunkan Al-Quran, memelihara al-Quran dan memasukkan al-Quran ke dalam hati anak-anak.

Kaedah sesuai ajar anak mengaji


Sebenarnya tiada satu pun kaedah yang benar-benar menepati cara mengajar anak. Setiap anak berbeza dan kita sebagai ibu bapa perlu mengenalpasti minat dan kecenderungan anak.

Sejak usia anak sulung setahun kami menggunakan pelbagai buku kaedah mengajar anak mengaji al-Quran yang berada di pasaran.

Ini sekadar reviu peribadi kami. Mungkin sesuai untuk anak kami tetapi tidak dapat diaplikasi pada anak orang lain dan begitulah sebaliknya. Berlapang dada dan teruskan mencuba.

Set Al-Furqan.

Buku ini adalah set mengaji terbitan Read Networks. Mempunyai 4 buah buku dan disertakan sebuah CD panduan mengajar. Di dalam CD ini terkandung lagu kanak-kanak.

Kami suka dengan buku 1 yang disusun dengan 14 huruf mesra bayi. Ia bermula dengan baris fathah bagi huruf ba, mim, nun, ya dan seterusnya. Menarik kerana ia tidak dimulakan dengan huruf alif seperti kebanyakan Iqra' di pasaran.

Setiap buku mempunyai tajuk dan latihan menyebut tersendiri. Kami hanya menggunakan 2 buah buku Furqan sebelum beralih menggunakan buku lain.

Kaedah Al-Matien.

Kaedah ini diasaskan oleh Ustaz Zamri bin Zainal Abidin atau dikenali dengan trade mark Ustaz Mantop ekoran program belajar mengaji kanak-kanak beberapa tahun lepas.

Buku ini disusun bermula memperkenalkan hirif hijaiyah, sebutan makhraj, diajar menyebut a an(alif fathah dan alif berbaria tanwin atas) serta dipecahkan kepada bab-bab. Arahannya mudah difahami serta berwarna-warni.

Bagi saya buku ini bagus kerana orang dewasa juga boleh menggunakan buku ini. Namun, sekali lagi anak kami hanya menggunakan buku ini separuh jalan.

Iqra'

Kami cuba menggunakan iqra' yang meluas digunakan di sekolah ini. Tetapi anak tidak mahu membacanya kerana melihat terlalu banyak kalimah dalam 1 muka surat. Terpaksa kami mencari kaedah lain.

Iqra' At-Taisir

Buku ini disusun oleh Ust Rizal Abd Ghani, seorang guru j-QAF cemerlang di Johor.

Alhamdulillah anak saya sangat sukakan buku ini kerana berwarna penuh, ada ilustrasi berwarna dan penerangan jelas di setiap bab. Buku ini mempunyai 5 tahap. Tidak terlalu banyak kalimah dalam satu muka surat dan tulisannya sesuai untuk anak baca.

Subhanallah, anak mula membaca secara konsisten mulai Mei 2013 sehingga akhir Julai 2013.  Awal Ogos 2013 iaitu pada 1 Syawal 1434H anak memulakan bacaan al-Quran beliau.

Semasa menggunakan Iqra' At-Taisir ini, anak memang sudah mencuba membaca al-Quran semasa di modul 5 tetapi kami tetap mahukan anak baca sehingga tamat kerana dalam modul 5 diajar tentang tajwid dan bacaan istimewa di dalam al-Quran.

Tuesday, December 5, 2017

7 Aktiviti Pra-Menulis

1. Mewarna

* Alat yang boleh digunakan seperti warna air, krayon, pensil warna, finger paint dan thumb print.
* Palette boleh digantikan dengan bekas telur yang diperbuat daripada plastik. Lebih jimat :)
* Bagi usia 2 tahun, alatan mewarna yang digunakan bersaiz jumbo dan tidak bertoksid. Boleh dilihat pada kotak.
* Bagi usia 4 tahun, gambar lukisan haruslah besar supaya kanak-kanak bebas menggerakkan tangan semasa mewarna.

2. Pemilihan gambar mengikut umur 

* Bagi usia 4 tahun, gambar besar dan jika boleh menggunakan gambar persekitaran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak ini.
* Biasanya menggunakan satu warna sahaja.
* Usia 5 tahun boleh beri dua atau tiga objek dalam satu gambar. Warna juga boleh berfokus dengan saiz sederhana.
* Usia 6 tahun, sudah boleh menggunakan gambar yang lebih kecil dan mempunyai 3 hingga 5 objek berfokus.

3. Melukis / melakar

* Aha, ini kanak-kanak suka buat, kan? Kadang-kadang dinding juga jadiport kegemaran ;)

4. Menggunting

* Ikut tahap umur.
* 0 hingga 2 tahun menggunakan gunting yang ringan, diperbuat daripada plastik, hujung tidak tajam dan digunakan untuk menggunting kertas.
* 2 hingga 4 tahun masih sama cuma gunting boleh diperbuat daripada plastik atau besi.
* Usia 5 hingga 6 tahun sudah boleh menggunakan gunting daripada besi dan boleh menggunting kertas dan kain.

5. Menampal dan mengoyak

* Kolaj daripada bijirin, kertas warna atau bahan buangan pensel warna merupakan idea yang menarik yang boleh digunakan dalam aktiviti.
* Sesekali saya menggunakan tisu sebagai alternatif :)

6. Melipat

* Aktiviti ini sinonim dengan origami. 
* Boleh buat carian di internet dengan kata kunci "origami for kids", "simple origami for kids" dan seumpamanya. Banyak sangat sumber yang boleh dibuat rujukan.

7. Menguntai

* Dalam bahasa Inggeris dipanggil "lacing".
* Boleh gunakan bahan terpakai seperti kotak bijirin, kotak tisu atau kotak barang. Jimat lagi :)

Sumber rujukan

Mengajar anak mengaji bukan sekadar mahu anak cepat pandai membaca al-Quran. Tetapi ibu ayah perlu melihat skop perkembangan anak secara menyeluruh. Adab, kemahiran menulis, kemahiran membaca, kreativiti anak dan sebagainya.

Ada beberapa sumber yang saya selalu rujuk apabila membuat aktiviti bersama anak di rumah.

1. Buku bertemakan keibubapaan :

1) Indahnya Didikan Awal Anak Cara Islam (0 - 2 tahun) oleh Mazidah Muhammad dan Dr Noor Hisham Md Nawi
2) Tarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan 
3) Ibu, Kuingin Tahu oleh Khairunnisa Iskandar
4) Saat Berharga Untuk Anak Kita oleh Muhammad Fauzil Adhim
5) Melatih Kanak-kanak Menulis oleh Dr Surayah Zaidon dan Siti Rasyiqah Munirah
6) Begini. Sayang! oleh Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainuddin
7) 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna oleh Adlil Rajiah
8) Puteriku, Nasihat Abah Untukmu oleh Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri
9) The Muslim Parent's Guide to The Early Years oleh Umm Safiyyah
10) Bukan Sekadar Homeschooling oleh Khadijah Gani

2. Buku bertemakan pendidikan rohani :

1)  Perisai Muslim (Hisnul Muslim) oleh Sheikh Dr Said bin Ali WahfAl-Qahtani (terjemahan Dr Abdul Basit Abd Rahman)
2) Do'a dan Zikir Ibu Hamil oleh Nurah binti 'Abdirrahman

3. Buku bertema seni dan kraf

1) Seni Doh dan Tanah Liat oleh MaryAnn F. Kohl
2) 50+ Aktiviti Seronok Belajar di Rumah oleh Mama Q
3) Kembara Kraftiviti oleh Mama Q
4) Bonding Time Bersama Si Cilik oleh Mama Q
5) 70+ Aktiviti Cinta Al-Quran oleh Dr Anayasmin Azmi

4. Laman sesawang :

1) A Muslim Homeschool :
http://www.amuslimhomeschool.com/

2) This Reading Mama
https://thisreadingmama.com/

Story Sack atau Karung Cerita

Karung cerita secara ringkasnya ialah sebuah beg yang mengandungi oelbagai bahan aktiviti berdasarkan sesebuah buku cerita.

Pilih sebuah buku cerita yang ingin anda bacakan kepada anak-anak.

Kedua, fikirkan beberapa aktiviti tambahan yang menyeronokkan sebagai pengayaan dan pengukuhan kepada cerita tersebut.

Misalnya, kita memilih tajuk Nabi Yunus dan Ikan Nun. KIta boleh jadikan karung cerita seperti ini :

1. Sediakan buku cerita atau anda bina buku cerita sendiri.

2. Sediakan templat permainan mencari perkataan (word search) yang terdapat dalam cerita seperti nabi, ikan, kota, laut dan lain-lain.

3. Sediakan replika haiwan mini di dalam laut sebagai aktiviti tambahan anak mengenal haiwan dalam laut seperti ikan, ikan paus, sotong, udang dan kuda laut. Haiwan mini ini biasanya boleh didapati di Mr DIY atau seumpamanya.

4. Membina I Spy Bottle dengan memasukkan beras atau gel rambut dan haiwan mini ke dalam botol. Anak akan goncang dan cari haiwan. Jika terjumoa, anak akan tanda ☑ pada senarai yang diberikan. Pastikan botol I Spy ini telah diselotep dengan kemas bagi mengelakkannya terbuka.

5. Membina jigsaw puzzle gambar kapal di laut.

6. Menyediakan langkah demi langkah membina origami kapal dan ikan.

7. Menyediakan kolaj kapal berserta bahan seperti templat kapal, gam dan kertas warna.

Sebenarnya ada 101 cara lagi menjadikan karung cerita anda menyeronokkan. Yang pasti, anda ketahui dahulu minat dan kecenderungan anak sebelum menyediakan aktiviti. Jika anak tidak suka mewarna, fikirkan aktiviti lain seperti menampak untuk membuatkan anak terlibat dalam aktiviti dengan seronok.

Mencipta rutin

Mencipta rutin bukan satu perkara yang membosankan. Ia banyak membantu anak-anak berdisiplin. Malahan kita sudah boleh didik anak membuat kerja rumah sejak dari awal usia mengikut tahap kemampuan mereka. 

Ajar anak bangun awal pagi. Jika mampu bawa anak-anak solat subuh berjemaah di masjid. Pulang dari masjid, urus diri, sarapan dan membaca zikir pagi. Usai berzikir, anak-anak beriadah di luar rumah. Dapatkan udara segar dan vitamin D dari cahaya matahari. Anak bantu siram pokok bunga dan tanaman di sekeliling rumah. Beri peluang anak melompat, berlari dan bersenam bagi memenuhi keperluan fizikal masing-masing.

Bagi anak yang akan ke rumah pengasuh, taska mahupun sekolah, boleh juga aplikasikan tip ini. Iaitu anak-anak diajar bangun pagi, urus diri dan baca zikir pagi atau mengaji sebentar sebelum bergerak ke destinasi masing-masing.

Bagi ibu yang berada di rumah, penting dipastikan ibu bersiap terlebih dahulu dan mulakan aktiviti seawal pagi.

Anak sedia mengaji

1) Ibu ayah perlu niat kerana Allah.

Ini kerana niat ini dikira ibadah dan memandu ibu ayah ingat akan matlamat asal mengajar anak mengaji al-Quran.

2) Emosi stabil.

Emosi ibu yang tenang turut mempengaruhi corak emosi anak untuk belajar. 

3) Persekitaran yang kondusif.

Sediakan kelengkapan mengaji yang khas untuk anak. Beri peluang anak memilih sendiri warna rehal kegemaran, sejadah yang disukai, telekung dan kopiah yang diminati dan bertanya keselesaannya semasa duduk mengaji.

4) Cukup makan minum.

Memastikan anak telah makan dan minum sebelum sesi pembelajaran. Ini mengelakkan anak kerap bangun ke dapur untuk minum dan makan. Sudah pasti ia mengganggu proses pembelajaran.

Dalam hal ini, penting menjaga pemakanan anak. Jauhi jajan, makanan segera, minuman berkarbonat, makanan manis dan menjauhi makanan syubhaha. Makanan yang halal tak semestinya toyyibah. Belajar membaca kandungan label makanan sebelum membeli.


5) Beri ganjaran.

Ganjaran terbahagi kepada dua. Satu dengan material dan kedua tanpa material. Anak-anak yang dibesarkan dengan ganjaran material tidak akan bertahan lama. Sebaliknya ia merosakkan mereka. Namun tidak salah sekiranya diberikan sesekali. Ini bagi menaikkan semangat mereka untuk terus belajar.

"Bila abang berjaya kuasai bacaan tajwid mad ini, kita pergi main basikal di taman permainan."

Ganjaran tanpa material boleh terdiri daripada pujian, tepuk tangan, beri high five atau menunjukkan tanda bagus. Masya Allah, hati mereka bersih dan suci. Semua ini sudah cukup memberi mereka impak yang positif.

"Kakak dah lancar baca huruf fathahlah, masya Allah! Anak solehah ni."

"Adik dah berjaya khatam Iqra' 1, tepuk tangan untuk adik!!."

Elakkan penggunaan rotan jika anak tidak pandai mengaji. Menurut Dr Nik Salida Suhaila (2015), dalam Islam ada tiga peringkat yang perlu ibu ayah lakukan sebelum merotan anak-anak.

Pertama, kita perlu terangkan kepada anak apa yang betul dan apa yang salah dengan baik. Kedua, peringkat peneguhan. Sentiasa ingatkan anak dan beri nasihat. Jangan lupa memberi contoh yang baik supaya anak lebih memahami dan dapat mengikutinya. Ketiga barulah peringkat memberi hukuman jika kesalahan dengan sengaja dilakukan.

Semasa belajar di kampus dahulu, saya ada belajar tentang cara-cara menghadapi anak yang bermasalah tingkah laku. Salah satunya ialah mengadakan time out. Time out  ialah satu keadaan di mana kita mengasingkan pelajar ini buat beberapa ketika sebelum membenarkan dia kembali ke dalam kelas atau kelompok rakan-rakannya.

Ada kebaikan dan kontranya. Sebaiknya apabila berlaku anak tantrum, perkara pertama yang dilakukan ialah ibu ayah bertenang, beri anak masa untuk meluahkan perasaan (mengamuk), peluk anak, bawa ke tempat lain dan mula bercakap dengan tenang.

Semoga tip ini membantu meredakan ketegangan yang timbul.

Tadabbur al-Quran

Satu pertiga dari al-Quran merupakan kisah yang Allah sampaikan kepada kita. Anak-anak kecil pun seronok mendengar apa jua cerita.

Sejak anak masih bayi, kami cuba jadikan rutin membaca sebelum tidur. Bermula dengan berbual-bual santai dengan bayi, kemudian menggunakan buku cerita yang ringkas sehingga membawakan kisah dari Al-Quran berdasarkan surah yang mereka sedang hafaz.

Tanpa props pun sudah menarik bagi mereka. Yang penting kisah yang sahih, mesej yang jelas, bahasa yang mudah bagi kefahaman anak dan intonasi yang pelbagai.

Selain menggunakan terjemahan al-Quran, saya turut menggunakan Tafsir Al-Munir oleh Dr Wahbah Zuhaili, buku Ensiklopedia Juz Amma terbitan Darul Mughni, Eksplorasi Al-Quran terbitan Darul Mughni dan Al-Quran Pertamaku dari Ana Muslim.

Bila anak mula faham apa yang dibaca mereka akan teruja bagi menyambung bacaan al-Quran. Masya Allah.

Mengenali anak

Setiap anak akan melalui beberapa peringkat perkembangan dalam hidup mereka. Kita fokuskan kepada enam tahun pertama dahulu. Bermula dengan mendapatkan carta perkembangan anak dan melalui pembacaan saya mula merangka pendekatan dan pembelajaran anak-anak. Sungguh, fitrah anak-anak ialah bermain. 

Secara umumnya, saya melihat anak-anak dalam kategori audio learner, visual learner atau kinestethic learner. Daripada ciri-ciri ini saya mula menggunakan pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan anak-anak.

Selain itu, kita perhatikan tahap kesediaan anak-anak sebelum ajar mengaji. Adakah anak ini sudah bersedia membaca buku atau belum, adakah anak ini sudah boleh menerima arahan untuk duduk membaca atau riang bermain di sekeliling rumah, dan adakah anak ini seronok apabila diajak mengaji atau mengamuk apabila mendengar perkataan mengaji iqra'?

Jangan paksa. Tunggu sehingga anak bersedia. Layanilah fitrah bermain sesuai dengan usianya.

Motivasi Mengaji Al-Quran

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya." (Surah Al-Furqan ayat 74)

Apabila membaca maksud doa ini, hati terdetik. Pentingnya doa ini sehingga Allah rakamkan dalam Al-Quran. Timbul persoalan, bagaimana mendapatkan pasangan dan anak yang soleh solehah?

Ya, sudah pasti berbalik kepada diri kita sendiri. Mahu anak rajin solat? Kita terlebih dahulu perlu istiqamah solat di awal waktu. Mahu anak yang rajin mengaji al-Quran? Kitalah terlebih dahulu melazimi al-Quran. Nah, kepimpinan melalui tauladan, bukan?

Tambahan lagi bertemu dengan hadis ini, membuatkan perasaan mahu menjadi seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Manusia terbaik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Malahan kami sentiasa menitipkan doa dan harapan agar anak ini menggenggam iman sehingga akhir hayatnya.  

Monday, December 4, 2017

Langkah pertama

Permulaan saya mula mengajar anak secara serius di rumah ialah ketika saya dalam cuti bersalin anak kedua pada tahun 2012. Suatu hari, saya memanggil anak sulung tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya anak ini begitu fokus melihat kartun di televisyen. Saya tersentap. Kami tiada telefon pintar ketika itu namun fenomena i-pad sudah mula berkembang dalam pasaran. Begitu juga kartun Upin Ipin semakin popular.

Saya memegang bahu anak dan bawa dia masuk ke bilik. Saya mengajak anak membuat aktiviti bersama dan kami memilih untuk membuat aktiviti kolaj. Allah ilhamkan idea ini bagi mengurangkan kebergantungan anak terhadap televisyen. Alhamdulillah, walaupun bahan terhad di rumah, berjaya juga kami menyiapkan kolaj alif dengan gembira.

Sejak itu saya giat menggali ilmu demi memenuhi keperluan dan pendidikan anak-anak yang masih kecil. Bertanya pengalaman orang yang lebih tua, membaca buku, artikel, melanggan majalah, mendengar ceramah dan menyertai seminar keibubapaan. Waktu itu saya mula sedar, tanggungjawab seorang ibu bukan sekadar menyusu dan menjaga anak tetapi bersedialah untuk menjadi madrasah pertama anak-anak!


Mengajak Anak Kecil Mengaji

Sunday, December 3, 2017

Aktiviti Bertema

Merancang awal boleh menjimatkan masa dan tenaga. Ibu boleh memberi tumpuan kepada aktiviti anak serta fokus kepada perkembangan anak. Hasilnya boleh dicatat di dalam buku sebagai rekod ibu. Berikut ialah cadangan aktiviti selama seminggu :

1. Kemahiran motor kasar.
2. Kemahiran motor halus.
3. Kraf.
4. Projek Seni.
5. Aktiviti bersama keluarga.
6. Aktiviti di luar rumah.
7. Aktiviti membaca.

Sebagai contoh, ibu mengambil tema Kisah Nabi Yunus dan Surah Al-Anbiya' ayat 87, maka perancangannya akan jadi begini :

1) Aktiviti membaca

- Ibu ayah boleh mulakan dengan bercerita (storytelling) menggunakan buku atau membuat props. Bukan satu kewajipan menyediakan latar cerita tetapi bukankah lebih seronok dan terkesan sekiranya dibantu dengan bahan lakonan?
- Saya pernah menggunakan gambar bersiri yang menceritakan kisah Nabi Yunus. Rujukan yang saya gunakan ialah Tafsir Ibnu Katsir, buku Ensiklopedia Al-Quran terbitan Darul Mughni dan Kisah Nabi Yunus terbitan Blue-T Publications.
- Saya tampal ilustrasi berwarna ini pada kalendar meja. Jadi semasa bercerita saya akan selak gambar menggambarkan situasi demi situasi.

2) Kraf dan projek seni.

- Membuat origami ikan paus dan bot dengan kertas dan mewarnakan hasilnya.
- Anak juga boleh membina bandar dari kotak dan botol terpakai di rumah. Balut dengan kertas putih dan hiaskan.
- Secara tidak langsung kita telah merangsang kemahiran motor halus anak.
- Atau anak-anak bina tempat diorama dengan bantuan ibu ayah. Bahan yang diperlukan ialah beg kertas coklat (brown paper bag) yang dihias menjadi bangunan yang menggambarkan Bandar Ninawa.

3) Kemahiran motor halus dan kemahiran motor kasar.

- Bermain dengan pasir dapat merangsang sensori anak. Apa kata bawa anak ke tepi pantai dan buat sesuatu berdasarkan kisah Nabi Yunus ini. Anak-anak lukiskan bandar tempat baginda tinggal atau sama-sama membina kapal menggunakan bahan yang ada di pantai. Ini dapat merangsang anak berfikir dan menyelesaikan masalah.

- Secara tidak langsung, aktiviti untuk nombor lima dan enam sudah dapat dilakukan serentak.



Saturday, December 2, 2017

Membuat lapbook

Apa itu lapbook?

Lapbook bagi saya ialah satu buku atau projek kecil bertema yang merangkumi pelbagai isu dalam sesuatu topik, mengandungi pelbagai bahan seperti buku mini, gambar rajah, lipatan kertas, tulisan, nota dan sebagainya.

Percayalah, ia sangat menarik untuk pembelajaran anak-anak! Kebiasaannya kami menggunakan kad manila yang dipotong saiz A4. Jika mahu tahan lama, boleh cari material kotak terpakai, laminate kertas atau gunakan fail coklat.

Fail coklat ini banyak dijual di kedai-kedai buku. Harganya juga murah dan dijual dalam set. Bagi tahan lama, selotep keseluruhan permukaan. Ada juga yang menamakan aktiviti ini sebagai Fail Pengajaran Berstruktur. Ia banyak digunakan untuk pembelajaran anak autisme.

Saya suka sediakan lapbook yang mempunyai beberapa helaian dan boleh dilipat lebih dari sekali. Lapbook dibuat bersama anak atau saya buatkan terlebih dahulu dan anak hanya akan gunakan sahaja.




Teknik permainan

1) Menampal huruf.

Membiasakan anak-anak dengan buku sejak kecil merupakan salah satu langkah proaktif memupuk minat membaca. Anak-anak ada buku kegemaran masing-masing. Jadi saya menggunakan peluang ini untuk mengajar anak mengaji.

Saya tampalkan huruf-huruf hijaiyah tunggal pada alat permainan seperti lego, kereta mainan dan lori mainan. Manakala huruf fathah (berbaris atas) saya tampalkan dalam buku kegemaran mereka. Jadi semasa membacakan buku untuk mereka, saya akan tunjukkan huruf secara langsung dan tidak langsung. 

Saya juga tampalkan huruf pada dinding dan pintu bilik. Semasa mereka melalui kawasan tersebut mereka akan memandang huruf tersebut. Lama-kelamaan mereka dapat mengecam huruf dengan baik.

Jangan bimbang jika anak tidak menunjukkan respon, insya Allah minda anak menyimpan memori dan satu hari akan keluar juga "output".

2) Membina bahan bantu mengajar sendiri.

Kumpulkan botol mineral kosong. Tuliskan huruf hijaiyah pada 3 kertas berasingan. Balutkan pada botol mineral ini dan minta mereka padankan huruf yang sama dalam satu baris.

Membuat permainan dadu. Cari kotak terpakai, potong dan cantum menjadi dadu kecil berlainan saiz. Tuliskan huruf pada setiap bahagian dadu. Boleh juga susunkan kotak dadu ini dari besar ke kecil.

3) Membuat kad memori.

Potongkan kad-kad manila. Tulis huruf hijaiyah fathah. Jadikan dua set. Susun atas meja secara terbalik. Buka satu kad secara rawak dan cuba teka pasangannnya. Jika kad kedua bukan padanannya, tutup semula kedua-dua kad. Cuba lagi sehingga dapat semua padanan.

Boleh juga gunakan cawan kertas dan tuliskan huruf pada belakang cawan. Padankan huruf yang sama pada kertas.

Pelbagaikan kaedah dan material. Pasti anak suka.

4) Saya Cari... (I Spy...)

Bahan yang digunakan terdiri daripada :

Botol mineral 
Beras 
Huruf hijaiyah

Cara-caranya :

Isikan separuh botol dengan beras. Masukkan huruf-huruf hijaiyah. Masukkan lagi beras dan huruf. Goncangkan. Sediakan sebuah senarai semak untuk anak tandakan huruf yang dia nampak dari botol.

I Spy Bottle ini boleh digantikan dengan beg ziplock dan air sabun. Selotep supaya tidak bocor atau terbuka. Masukkan huruf hijaiyah ke dalamnya. Selamat bermain dengan seronoknya!