Pada satu tahap, anak-anak lebih cekap dan senang dapat sesuatu apabila bergaul dengan rakan sebaya. Kemahiran bersosial, bahasa dan komunikasi yang baik mampu menjadikan hubungan cepat terjalin.
Dalam perjalanan anak kami belajar al-Quran ada beberapa perkara yang dilakukan untuk menarik minatnya membaca dan menghafaz al-Quran :
1. Memperdengarkan bacaan al-Quran dari qari kanak-kanak. Anak gemar mendengar bacaan Muhammad Toha, qari Ahmad Soud dan Adik M. Ammar Fathani (Indonesia). Lenggok bacaan juga diikuti mereka.
2. Melihat rancangan berbentuk al-Quran.
Program yang pernah ditonton ialah rancangan Hafizh Quran Indonesia, Tilawah Interaktif TV1, Adik-adikku TV1 dan pertandingan hafazan peringkat kebangsaan. Anak suka melihat "rakan-rakan" seusia mereka menghafaz di atas pentas dan membacanya. Adik Kaisa Dan Adik Musa memang diingati oleh mereka hingga kini. Kedua-duanya ialah peserta Hafizh Quran Indonesia dengan kelebihan masing-masing.
3. Membawa mereka ke program keagamaan dan berteraskan al-Quran.
Melazimi masjid sejak mereka lahir membantu mendidik mereka akan adab bertamu di masjid, adab menuntut ilmu dan menghormati orang lain. Membawa mereka ke kuliah agama, kuliah tafsir dan kelas mengaji al-Quran secara tidak langsung menumbuhkan minat untuk membaca dan menghafaz al-Quran.
Kesempatan untuk hadir ke Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan memberi impak besar kepada anak-anak. Mereka nampak bersemangat apabila melihat ramainya hadirin memenuhi dewan untuk mendengar bacaan al-Quran.
Apalagi jika surah yang dibaca sudah mereka hafaz. Kegembiraan itu terpancar di wajah mereka. Malahan, lenggok bacaan turut dibawa semasa menunaikan solat.
4. Bertemu alim ulama' dan orang soleh.
Bercerita dan membawa mereka bertemu insan soleh mampu memberi motivasi kepada anak-anak untuk meminati al-Quran. Kadang-kala nasihat daripada orang yang dihormati mudah diterima oleh anak-anak.
Mereka merasa diterima dan dipercayai.
5. Mengaji al-Quran bersama rakan sebaya.
Perkara ini sangat membantu dalam perkembangan anak belajar membaca al-Quran. Sudah pasti seronok belajar apabila ada rakan yang dikenali dan mempunyai minat yang sama.
No comments:
Post a Comment